Total Pageviews

Labels

Wednesday, November 2, 2011

BAHASA MELAYU-FORM 5

Contoh karangan-karangan A SPM. Semoga dapat dimanfaatkan oleh semua pelajar.


KESAN PEMANASAN GLOBAL

Pemanasan global telah menyebabkan bumi mengalami “demam panas” yang turut menjadi penyebab utama iklim dunia menjadi semakin kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan global lebih banyak mengganggu sistem ekonomi berbanding dengan kesihatan diri. Walau bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia. Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai nasib malang semata-mata.

Namun, bagi yang terselamat, mereka sebenarnya terdedah kepada ancaman kesihatan selepas terselamat daripada lemas, mati kesejukan atau dehidrasi. Percaya atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak tahun 2000 sama ada secara langsung ataupun tidak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada jumlah kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk. Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah dengan ribuan mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap tahun ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Pemanasan global yang berpunca daripada pencemaran udara akan menyumbang kepada peningkatan jumlah gas karbon iaitu gas rumah hijau di ruang atmosfera bumi. Haba matahari yang pada kebiasaannya dapat dipantulkan ke permukaan bumi kembali ke angkasa lepas kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu bumi semakin meningkat. Akibatnya, ais di kutub-kutub mula mencair dan meningkatkan paras air laut sehingga menenggelamkan sesetengah pulau kecil dan menghakis permukaan tanah besar.

Selain itu, suhu tinggi turut meninggalkan kesan pada aliran angin yang akan membawa kepada pembentukan lebih banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk daripada biasa. Contoh terbaik dapat dilihat berdasarkan kepada gelombang haba di Eropah yang menyebabkan angka kematian meningkat sejak tahun 2000. Gelombang “kepanasan” ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan musim sejuk kini jauh lebih tinggi. Malah, ada negara seperti Amerika Syarikat telah dilanda ribut salji dan ribut taufan yang teruk seperti Taufan Katrina pada tahun 2005.

Kesan masalah ini akan terus berpanjangan dan akan semakin serius jika terus diabaikan atau gagal dikawal. Akibatnya, generasi seterusnya yang akan menanggung kesan penuh kerakusan generasi kini dalam mencemarkan alam sekitar semata-mata untuk kekayaan dan kemajuan ekonomi kerana sifat tamak haloba. Sebarang bentuk perubahan melampau pasti akan memberi kesan paling buruk kepada bayi, kanak-kanak, dan warga emas yang merupakan golongan paling mudah terdedah menjadi mangsa pertama bencana alam.

Rakyat Malaysia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan suhu yang tinggi dan panas terik memandangkan sudah biasa dengan iklim tropika bak kata pepatah, “alah bisa tegal biasa”.Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup dengan iklim sejuk mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dan kini mencatatkan peningkatan kematian akibat strok haba. Strok haba akan menyebabkan kegagalan semua organ badan berfungsi, sama seperti yang berlaku kepada pesakit demam panas. Begitu juga dengan penyakit radang paru-paru yang berpunca daripada penyebaran meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan cuaca panas dan lembap serta beberapa faktor lain.

Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih akan mendedahkan orang ramai kepada air yang dicemari pelbagai jenis kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar digunakan sebagai air minuman, memasak, membasuh atau membersihkan diri. Bilangan kes cirit-birit , taun dan pelbagai penyakit bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak ketika musim banjir. Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan penyakit bawaan nyamuk akibat pembiakan nyamuk di dalam tompokan air bertakung yang ditinggalkan arus banjir. Takungan air ini menjadi tempat strategik untuk kuman yang pantas membiak kerana mendapat bekalan makanan yang cukup dari tumbuhan dan bangkai haiwan yang mereput.

Masalah ini juga memberi kesan yang buruk kepada mereka yang gemar bersenam dan beriadah di luar. Hal ini demikian kerana gas rumah hijau seperti karbon monoksida kini semakin banyak dalam udara terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai bilangan kenderaan yang banyak. Apabila gas ini disedut terlalu banyak, ketika bersenam atau beriadah, menyebabkan kandungan oksigen darah jatuh mendadak dan kandungan gas karbon monoksida yang banyak boleh memberi kesan kepada badan dan jantung.

Pemuliharaan alam sekitar perlu dipikul bersama dan bukannya bergantung kepada kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan dunia semata-mata bak kata kata pepatah, “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”. Rakyat turut memainkan peranan penting dengan mengambil berat akan kesejahteraan sejagat dan tidak hanya mementingkan kemajuan sendiri tanpa mengambil kira akibat kerakusan mengejar kekayaan dunia kerana sememangnya orang yang tamak selalu rugi. Walaupun hanya dengan sumbangan kecil seperti tidak membuat pembakaran terbuka dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor oleh sebanyak mungkin individu, setidak-tidaknya kita dapat membantu mengawal pemanasan global. Sayangi dan cintailah bumi kita demi kesejahteraan dan keharmonian kehidupan generasi akan datang.



DISIPLIN ASAS KEJAYAAN

Pada era globalisasi ini , pencapaian yang cemerlang dan seimbang dalam bidang akademik serta kokurikulum oleh anak anak merupakan harapan ibu bapa sebagai langkah untuk menjamin masa depan anak-anak yang cerah . Hal ini menyebabkan ramai anak yang mengalami tekanan kerana ingin memuaskan kehendak ibu bapa mereka .Oleh itu , remaja yang terlibat dalam masalah disiplin ibarat cendawan tumbuh selepas hujan .Hal ini menyebabkan remaja mencari jalan untuk menghilangkan stress. Contohnya, membuli , merokok dan berlumba haram. Akhirnya , masalah disiplin pelajar menjadi lebih serius dan mereka terjebak ke dalam kancah kebinasaan .Oleh itu , pelajar harus belajar untuk menjadi disiplin kerana disiplin asas kejayaan .

Sebagaimana yang kita tahu, seseorang yang mempunyai disiplin diri dapat membina jati diri .Remaja sekarang mempunyai jati diri yang lemah .Hal ini disebabkan oleh pengaruh media massa dan pengaruh kawan yang kuat. Kesannya , remaja tidak berminat dalam pelajaran kerana terlalu berminat dalam pelajaran dan menumpukkan perhatian dan masa kepada media massa atau kawan . Sekolah harus mengadakan kelas intensif untuk membantu pelajar yang lemah dan membaiki kelemahan pelajar. Dengan itu , pencapaian akademik pelajar akan meningkat . Apabila pemikiran pelajar menjadi matang , jati diri pelajar akan turut meningkat .

Selain itu , sikap disiplin dalam seseorang dapat meningkatkan kesedaran remaja dalam pelbagai perkara .Remaja kini tidak menyedari kepentingan akademik dan suka hidup dalam mimpi .Mereka suka melepak ,merokok dan hidup dalam alam fantasi mereka .Akhirnya , mereka lupa daratan dan hilang arah tuju.Oleh itu, para guru disiplin sekolah harus sentiasa tegas dalam mengatasi masalah disiplin pelajar dan menguatkuasakan peraturan sekolah sebelum nasi menjadi bubur. Sebuah sekolah yang berada dalam keadaan yang erkawal akan dapat melahirkan tempat yang kondusif kepada pelajar-pelajar .

Seterusnya , disiplin yang ada pada seseorang remaja dapat menetapkan masa depan seorang remaja .Remaja alaf baharu ini mudah hilang arah tujuan kerna mereka tiada motivasi diri .Contohnya , mereka tidak membuat jadual belajar dan mereka malas untuk berusaha . Oleh itu , guru sekolah harus mendidik murid untuk menjadi disiplin .Dengan teknik pembelajaran yang disiplin . remaja dapat mengetahui perkara yang sedang dibuatnya dengan jelas dan tahu mencari cara untuk memajukan diri mereka .Dengan itu , remaja akan menghargai masa dan mereka akan sentiasa melakukan aktiviti yang berfaedah .

Sementara itu, sikap disiplin yang ada pada seseorang dapat meningkatkan imej diri .Pada masa ini , masalah remaja seperti berpakaian selekeh dan berambut panjang sudah menjadi perkara yang umum . Budaya Punk dan Barat dipraktikkan dalam kehidupan mereka.Contohnya , mereka mewarnakan rambut dan berseluar ketat . Pepatah Melayu pernah mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungya ,ibu bapa harus menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan menjadi suri telada kepada anak sejak kecil kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.Sebagaimana yang kita tahu , anak-anak yang dididik dengan baik dari rumah sentiasa mempunyai sikap disiplin dan perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka tidak menconteng arang di muka ibu bapa.

Di samping itu , disiplin merupakan kunci kejayaan diri . Anak muda pada masa kini antikokurikulum dan antipeperiksaan kerana mereka tidak dapat mencari keseronokan yang mereka kira seronok . Misalnya , mereka ponteng sekolah semasa dikehendaki untuk menghadiri aktiviti kokurikulum dan hanya hadir pada hari peperiksaan sahaja. Pengetua sekolah haruslah memberikan nasihat dan teguran untuk menyedarkan remaja bahawa pentingnya kokurikulum dan akademik dalam dunia ini . Pengetua juga harus member kata-kata yang dapat memotivasikan pelajar supaya pelajar lebih yakin akan diri sendiri . Pelajar haruslah menunjukkan muhasabah disiplin diri yang tinggi dan harus memperbaik sikap yang buruk kerana buang yang keruh , ambil yang jernih .

Tuntasnya , masalah disiplin pelajar dapat dikawal tetapi memerlukan usaha yang pragmatik dan kerjasama bagai aur dengan tebing oleh semua pihak . Pepatah Melayu sentiasa berbunyi ‘pemuda harapan bangsa , pemudi tiang negara , remaja harus diasuh untuk menjadi pemimpim negara yang berketerampilan dan berwibawa .Kesimpulannya ,sikap disiplin merupakan penentu kejayaan untuk memastikan masa depan negara cerah dan sejahtera . Saya yakin bahawa remaja ialah aset negara dan mereka akan menerajui dan mendukung cita-cita negara pada masa depan dengan sikap disiplin yang utuh dalam diri mereka .



LANGKAH MELESTARIKAN PERMAINAN TRADISIONAL

Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas walaupun popularitinya semakin berkurangan. Generasi muda hari ini tidak mengenali permainan tradisional dengan mendalam kerana kemajuan teknologi yang begitu pesat. Pelbagai pihak telah berusaha untuk mengembalikan populariti permainan tradisional masyarakat kita. Namun begitu, belum ada tanda-tanda permainan tradisional akan kembali diminati. Jadi, beberapa langkah yang sesuai wajar dilaksanakan untuk menghidupkan kembali warisan budaya bangsa ini.

Kerajaan wajar menganjurkan pertandingan-pertandingan permainan tradisional di semua peringkat sosial. Langkah ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk bergiat cergas dalam bidang sukan tradisional yang semakin dilupakan. Pelbagai hadiah yang menarik wajar disediakan keranaada gula ada semutnya. Permainan tradisional seperti wau, gasing, galah panjang, congkak, dan sebagainya sesuai untuk dipertandingkan. Pertandingan ini wajar dijadikan acara bulanan atau tahunan agar pendedahannya lebih kerap dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Jadi, penganjuran pertandingan akan dapat mengembalikan populariti permainan tradisional bangsa kita.

Selain itu, pihak berwajib perlu menjadikan permainan tradisional sebagai satu acara untuk menarik pelancong kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya. Kebanyakan pelancong mancanegara sudah tentu berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang permainan tradisional Malaysia yang pelbagai jenis. Kementerian Pelancongan wajar melatih generasi muda untuk menjadi duta kecil untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing. Untuk menjadikan permainan tradisional lebih popular, konsep inap desa turut memasukkan permainan tradisional sebagai acara wajib dalam program berkenaan. Oleh yang demikian, permainan tradisional dapat diperkenalkan kepada pelancong asing dengan lebih berkesan

Satu lagi langkah untuk memperkenalkan permainan tradisional adalah dengan memasukkan permainan tradisional sebagai satu aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi. Malahan, kanak-kanak di peringkat prasekolah juga wajar didedahkan dengan permainan tradisional kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kelab-kelab permainan tradisional hendaklah ditubuhkan dan murid-murid diwajibkan menjadi ahli mana-mana kelab permainan tradisional yang digemari oleh mereka. Tambahan pula, pertandingan permainan tradisional antara sekolah-sekolah akan menyemarakkan lagi semangat murid untuk memahirkan diri dengan permainan-permainan tradisional tertentu. Langkah ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di negara kita

Kesimpulannya, permainan tradisional memang wajar dikembalikan kegemilangannya dalam kalangan generasi muda. Semua pihak hendaklah berganding bahu untuk mempopularkan kembali warisan bangsa yang tidak ternilai harganya ini. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Jika tidak permainan tradisional warisan berzaman ini hanya tinggal nama sahaja pada suatu masa nanti. Kerjasama dan iltizam semua pihak akan dapat mempopularkan kembali warisan bangsa kita sampai bila-bila.



BANTUAN KEMANUSIAAN MALAYSIA KEPADA MANGSA BENCANA ALAM

Ketika dunia hari ini merentasi arus teknologi yang semakin canggih, bencana alam pula sering melanda dan menunjukkan belang. Pada realitinya, bencana alam seperti banjir, letusan gunung berapi dan ribut taufan ialah satu fenomena alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau. Hadirnya bencana alam tanpa kita minta lantaran bencana alam ini berlaku atas kehendak Tuhan, pencipta segala kehidupan. Bencana alam ini berlaku tidak kira tempat ataupun waktu. Pada abad ini, walaupun teknologi semakin berkembang dan tumbuh dengan pantas bagai belut diketil ekor, kemajuan ini tidak dapat menghalang bencana alam yang ganas melanda. Pada tanggal 26 Disember 2004, satu peristiwa telah menggemparkan dunia apabila semua berita melaporkan berlakunya ombak besar iaitu tsunami di Acheh yang telah mengorbankan beratus ribu nyawa. Kejadian dahsyat itu masih meninggalkan kesannya hingga kini malah masih menjadi mimpi ngeri buat semua yang terlibat. Memang tidak dapat kita nafikan bahawa semenjak belakangan ini banyak bencana alam yang berlaku di seluruh dunia termasuk negara kita dan juga negara-negara jiran seperti gempa bumi di Pakistan dan di China, taufan Nargis di Myanmar dan tanah runtuh yang dahsyat di Filipina. Fenomena yang terbaharu ialah letupan Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia. Sebagai masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan keranaberat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban.

Sebagai insan yang sedar tentang kesusahan orang lain, kita boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan derma. Derma yang dihulurkan akan disalurkan kepada mangsa bencana alam yang amat memerlukan dan mendambakannya bagi meneruskan kehidupan di bumi ciptaan Tuhan ini. Bantuan yang disumbangkan tidaklah hanya berfokuskan wang ringgit, tetapi bantuan lain seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan juga diperlukan. Setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana semua harta mereka telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini. Pada masa ini, pelbagai peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh pihak berwajib sama ada pihak swasta ataupun pihak kerajaan yang berasa bertanggungjawab untuk membantu sesama manusia. Contohnya dapat dilihat apabila pihak TV3 telah mengadakan Karnival Jom Heboh untuk membantu mangsa-mangsa tragedi yang menyayat hati di seluruh negara ini. Mantan Menteri Belia dan Sukan pernah menyatakan bahawa kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang diberikan Tuhan dan harus berkongsi nikmat yang kita ada dengan orang lain yang memerlukan supaya Tuhan akan melipatgandakan nikmat tersebut. Jelaslah di sini bahawa kita tidak harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa dapat hidup sempurna seperti kita.

Menganggotai pasukan penyelamat dan pencari juga merupakan peranan kita dalam membantu dan mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan atau mencari mangsa yang hilang selepas kejadian bencana alam. Muktahir ini, banyak pasukan penyelamat Malaysia diterbangkan ke negara-negara jiran yang mengalami bencana alam untuk memberikan bantuan yang semampu boleh. Namun, tidak semua daripada kita yang berani menjadi penyelamat kerana takut berlakunya kejadian susulan di tempat bencana terbabit. Bagi mereka yang berani, mereka ibarat wira dari Malaysia yang datang untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai penghuni di muka bumi ini. Pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak Cepat dan Pasukan SMART di samping pasukan bomba sentiasa dihantar sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa. Mereka membantu bukan untuk balasan atau ganjaran, namun membantu atas dasar kemanusiaan demi menginsafi diri bahawa mereka perlu bersyukur dengan segala keselesaan dan telah terselamat daripada bencana alam ini. Rentetan itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa menyumbangkan tenaga boleh menjadi satu platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni ini lantaran kita berpegang pada kata pepatah, hari tidak selamanya panas.

Membuat keputusan untuk menjadi sukarelawan bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini disebabkan apabila menjadi salah seorang ahli sukarelawan, kita akan meninggalkan keluarga yang tersayang dalam tempoh yang agak lama untuk memberikan bantuan kepada negara-negara jiran. Bantuan rawatan, membina rumah mangsa yang telah musnah semula dan mententeramkan emosi mangsa adalah antara tugas sukarelawan. Pada masa ini, sukarelawan bergerak dalam kumpulan ataupun persatuan. Para sukarelawan ini kebanyakannya dianggotai oleh golongan doktor iaitu golongan bijak pandai untuk merawat mangsa yang mengalami kecederaan sekali gus menyelamatkan nyawa mangsa. Kini, Mercy Malaysia yang dipimpin oleh Dato Dr. Jamilah semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat setempat kerana perkhidmatan cemerlang mereka. Ketika mengadakan operasi menyelamat mangsa dalam tragedi gempa bumi di Pakistan, Mercy Malaysia telah menerima pujian hasil kepakaran dan disiplin yang tinggi para pengamal perubatan dari Malaysia. Konklusinya, kemurnian hati para sukarelawan ini amat bernilai dan bererti kepada mangsa untuk mereka terus menjalani kehidupan seperti manusia lain. Para sukarelawan yang berilmu pengetahuan, berakal, rajin dan berkemahiran ini dapat dikatakan sebagai empat bersimpul satu dalam usaha tulus suci ini.

Di samping bantuan derma dan tenaga, kita juga boleh mendoakan mangsa-mangsa kejadian bencana alam ini. Doa yang dipohonkan adalah agar mereka tabah menghadapi dugaan daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui. Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama boleh mendoakan kesejahteraan hidup mangsa bencana yang masih hidup atau yang telah terkorban mengikut kepercayaan agama masing-masing. Paparan akhbar harian seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro telah melaporkan bahawa solat hajat dan bacaan Yasin secara besar-besaran telah diadakan di Masjid Putra, Putrajaya yang telah dihadiri oleh lebih daripada 2000 orang rakyat prihatin dan turut disertai oleh menteri-menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Berdasarkan senario ini, terbuktilah di sini bahawa setelah menghulurkan bermacam-macam bantuan. doa adalah pengakhiran bantuan yang diberikan lantaran kita sedar bahawa apa-apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Tuntasnya, doa dapat kita hadiahkan kepada mangsa kerana Tuhan itu Maha Adil lagi Maha Mengasihi. Doa ini juga secara tidak langsung boleh melahirkan rasa simpati dan insaf supaya kita sekali tersengat selalu beringat.

Di pihak kerajaan pula, bantuan pascabencana terus dihulurkan. Antara bantuan yang diberikan seperti sumbangan modal dan kepakaran untuk membangunkan kawasan yang telah tejejas teruk semula. Sebagai negara berjiran yang dapat merasakan rintihan dan suara hati saudara serantau, Malaysia telah membantu kerajaan Indonesia dalam usaha membangunkan semula sistem pendidikan di wilayah Acheh dan Yogyakarta di Indonesia yang terjejas teruk dalam peristiwa gempa bumi dan Tsunami. Dengan sokongan yang diberikan itu telah dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa. Anak-anak dapat meneruskan semula pelajaran, sementara hidup baru dapat dimulakan sedikit demi sedikit. Sokongan dan bantuan kepakaran yang dihulurkan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di samping dapat memberikan sinar kehidupan yang baharu kepada mereka selepas diuji dengan musibah yang tidak diduga itu.

Intihanya, semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dalam menghulurkan bantuan dan tidak menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Walau di mana-mana jua kita berada, kita harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang sempurna. Amat wajar membudayakan sikap saling membantu selagi kita termampu lantaranbuat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, malah buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Semua pihak haruslah bersama-sama menghulurkan bantuan dengan apa-apa cara sekalipun kerana ada pepatah mengatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Rasulullah juga pernah bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang kamu, selagi kamu masih belum mengasihi saudara kamu seperti kamu menyayangi diri kamu sendiri”. Semoga sumbangan yang kita salurkan dapat menyempurnakan iman kita dan dapat membantu mangsa meneruskan kehidupan seharian mereka seperti sediakala.



STRATEGI MEMBINA KARANGAN GRED A

Tajuk / tema karangan: Kehidupan Bermasyarakat

Fokus karangan: Kepentingan / kebaikan

Format karangan: Tiada (Pendapat/Perbincangan)

1. PERENGGAN INTRODUKSI JENIS GABUNGAN

[Ayat Rangsangan] Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah pernah menekankan bahawa kehidupan bermasyarakat merupakan satu ciri signifikan dalam kamus hidup rakyat Malaysia. [Ayat Huraian 1] Malangnya, semangat kehidupan bermasyarakat dan nilai-nilai kemasyarakatan, terutamanya konsep jiran sepakat membawa berkat, dalam kalangan masyarakat kita semakin terhakis. [Ayat Huraian 1] Menurut beliau, mereka hidup berkonsepkan enau dalam belukar melepaskan pucuknya masing-masing. [Ayat Huraian 2] Saya memang menyetujui pandangan beliau kerana rakyat kita tidak merasakan diri mereka bertanggungjawab untuk mengetahui keadaan sekitar rumah mereka sama ada rumah jiran dimasuki pencuri, anak jiran menghidu gam, isteri jiran curang, anak jiran menjadi mangsa penderaan ataupun anak gadis jiran lari dari rumah. [Ayat Arahan] Jadi, langkah-langkah proaktif dan pragmatik haruslah diambil dalam usaha menghidupsuburkan semangat kehidupan bermasyarakat sebelum kudis menjadi tokak.

2. PERENGGAN ISI 2 (JENIS DEDUKTIF)

[Ayat Judul] Kehidupan bermasyarakat, tidak dapat disangkal, dapat diamalkan menerusi semangat kejiranan. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Antaranya termasuklah amalan bertegur sapa sesama jiran, meluangkan masa untuk bertandang ke rumah jiran, menghulurkan bantuan kepada jiran, aktiviti bergotong-royong seperti berderau, perkelahan keluarga, dan aktiviti riadah. [Pengembangan: Ayat Huraian 2]Semangat ini dapat menjalin persaudaraan, mewujudkan keharmonian, memupuk perpaduan, dan melahirkan masyarakat yang prihatin. [Pengembangan: Ayat Contoh 1]Apabila jiran tetangga ditimpa nasib malang, seperti mangsa kebakaran, kita bukan sahaja perlu menyumbangkan wang ringgit malah memberikan sokongan moral. Dengan ini, konsep berat mata memandang, berat lagi bahu memikul terpupuk dalam lubuk kalbu masyarakat. [Pengembangan: Ayat Contoh 2] Apabila tanah sawah diusahakan secara berderau, kerja yang berat dapat diringankan bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Lebih-lebih lagi, bertandang ke rumah jiran tetangga pada hari perayaan mahupun kenduri perkahwinan dapat menjalin tali persahabatan yang erat. [Ayat Penyimpul]Dengan erti kata lain, semangat kejiranan dalam pelbagai aspek kehidupan dapat mewujudkan kehidupan bermasyarakat.

3. PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)

[Ayat Judul]Sistem hidup bermasyarakat juga dapat dihidupsuburkan melalui majlis-majlis sosial dan perayaan. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Kegiatan-kegiatan sosial dapat memupuk konsep bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat dan ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam kalangan penduduk setempat. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Antara aktiviti kemasyarakatan yang menekankan konsep hidup bermasyarakat termasuklah Hari Keluarga, Rumah Terbuka, dan sebagainya. [Pengembangan: Ayat Huraian 3] Dalam hal ini, masyarakat tidak seharusnya melibatkan ahli-ahli keluarga sahaja, sebaliknya haruslah meluaskan skopnya dengan membabitkan seluruh masyarakat setempat, sanak saudara, dan sahabat handai. [Pengembangan: Ayat ContohDalam menjayakan majlis-majlis tersebut, semua anggota masyarakat berganding bahu menyediakan juadah dan minuman, mendirikan tenda, dan menyusun atur kerusi meja untuk tetamu. [Pengembangan: Ayat Huraian 4] Dalam situasi inilah, rakyat dapat berinteraksi dan berkomunikasi sekali gus mempererat tali silaturahim antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, budaya, agama, adat, dan kepercayaan, di samping memeriahkan suasana majlis ataupun perayaan lagi. [Ayat Penyimpul] Pendek kata, aktiviti-aktiviti sosial perlu diperbanyak dan dipergiat demi memupuk budaya bermasyarakat dalam kalangan warga desa mahupun warga bandar.

4. PERENGGAN ISI 4 (JENIS DEDUKTIF)

[Ayat Judul]Selain itu, budaya hidup bermasyarakat dapat dipupuk melalui didikan agama dan moral. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Dalam masyarakat Melayu tradisional, umpamanya, fungsi dan tanggungjawab jiran dianggap penting dari segi agama. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Hal ini demikian kerana agama menegaskan keperluan yang dipikul bersama oleh semua anggota masyarakat bagi menunaikan sesuatu ibadat. [Pengembangan: Ayat Contoh] Ketika menyambut Hari Raya Aidiladha ataupun Hari Raya Korban, umat Islam menggembleng tenaga untuk menyembelih korban untuk disedekahkan kepada fakir miskin. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Dari perspektif yang lain pula, semangat kejiranan dapat diterapkan melalui didikan moral. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Dalam konteks ini, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam memupuk dan menyemaikan semangat bekerjasama dan bertolak ansur dalam kalangan warga sekolah. [Pengembangan: Ayat Contoh] Melalui kempen gotong-royong, warga sekolah bukan sahaja akan membantu menceriakan pekarangan sekolah malah menjalin tali ukhuwah antara satu sama lain. [Ayat Penyimpul] Dengan ini, kehidupan bermasyarakat akan menjadi sebati atau menjadi darah daging masyarakat kita.

5. PERENGGAN INTIHA

[Ayat Kesimpulan] Sebagai intiha, kehidupan bermasyarakat dapat menjadi realiti sekiranya langkah-langkah yang dibincangkan dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat. [Ayat Penilaian] Semangat ini dapat mendorong terjalinnya hubungan baik antara kaum dan mewujudkan integrasi kaum. [Ayat Penilaian]Perpaduan kaum akan membolehkan rakyat Malaysia hidup harmoni dan sejahtera, bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.[Ayat Cadangan]Jadi, semua pihak sewajarnya menjadikan kehidupan bermasyarakat sebagai agenda kehidupan demi menikmati kebahagiaan, kemakmuran, keamanan, dan kemajuan. [Ayat Harapan 2]Dengan ada kesedaran ini, bunga-bunga kesejahteraan, kegemilangan dan keharmonian akan mekar di empat pojok di tanah tumpah darah kita.[Ayat Harapan 2]Tidak ketinggalan juga, konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan dan kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju yang lain di persada antarabangsa.



RAMALAN Karangan SPM 2011: Peranan Kerajaan dan Rakyat Mengatasi Penyakit Berjangkit.

Tajuk:
Penyakit berjangkit seperti H5N1 dan H1N1 yang boleh menyebabkan kematian semakin merebak di seluruhnegara.
Tulis rencana tentang peranan kerajaan dan rakyat bagi mengawal penyakit ini.

ContohJawapan:

Beberapa tahun yang lalu, masyarakat dunia dikejutkan dengan penyakit selesema burung yang juga dikenali sebagai H5N1. Penyakit ganjil ini dikatakan tersebar melalui sepsis burung yang amat sukar untuk dikawal. Selang beberapa tahun kemudian pula, kita sekali lagi dikejutkan dengan kes-kes kematian yang berpunca daripada selesema babi atau lebih dikenali sebagai H1N1. Jadi, pelbagai tindakan boleh dilaksanakan oleh kerajaan dan rakyat untuk mengekang penyakit ini daripada terus berleluasa.

Tindakan awal ialah kerajaan perlu menyebarkan maklumat tentang penyakit berjangkit tersebut untuk makluman rakyat. Kementerian Kesihatan Malaysia perlu lebih proaktif untuk menjana maklumat melalui pelbagai saluran media massa. Pemberian maklumat sebegini memudahkan rakyat untuk memahami cara-cara penyakit ini boleh berjangkit lalu mengambil tindakan keselamatan peribadi pula. Oleh itu, pemberian maklumat oleh pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam usaha mengawal penularan penyakit berbahaya ini.

Pada masa yang sama semua pintu masuk ke negara ini baik menerusi jalan darat, laut dan udara perlu dikawal ketat. Semua orang yang ingin memasuki negara ini perlu diimbas secara terperinci agar kuman yang mampu menyebarkan virus tersebut dapat dikawal. Tindakan ini juga berupaya untuk menghalang sebarang virus dari negara ini untuk keluar ke negara jiran pula lalu menghalang berlakunya penularan wabak penyakit. Sesungguhnya, kawalan ketat di pintu-pintu masuk negara menjadi benteng kukuh menghalang penularan penyakit ini.

Berkaitan dengan kawalan di pintu masuk negara ini, sesiapa sahaja terutama pelancong yang didapati mengalami simptom-simptom penyakit ini perlu dikuarantinkan di tempat yang selamat. Tindakan ini boleh menghalang sebarang penularan wabak penyakit itu kerana mereka hanya akan dibebaskan setelah didapati bebas daripada penyakit berbahaya tersebut. Penyakit berbahaya mudah dikawal jika sumber penularannya berjaya dikesan dan dimusnahkan terlebih dahulu. Oleh itu, tindakan membuat kuarantin ini menjadi satu tindakan yang paling radikal tetapi rasional dalam usaha menyelamatkan jutaan nyawa manusia yang lainnya.

Malahan, rakyat juga perlu menjaga kebersihan diri dengan lebih serius. Mereka perlu mengurangkan masa berada di luar rumah supaya tidak mudah terdedah kepada mereka yang sudah menerima penyakit berbahaya ini. Kita harus sedar bahawa jangkitan penyakit sebegini boleh berlaku dalam sekelip mata seperti menyedut udara yang mempunyai bersin mereka yang mengalami penyakit tersebut. Jadi, kualiti penjagaan diri yang tinggi berupaya menghalang penularan penyakit yang berbahaya ini ke dalam masyarakat kita.

Rakyat juga harus mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan. Arahan yang disiarkan menerusi media massa harus diberi perhatian oleh kita semua terutama aspek penyebaran penyakit dan cara-cara menghalangnya. Maklumat yang disiarkan melalui media massa ini juga turut memberikan kita semua satu kelebihan untuk bertindak apabila sesuatu keadaan cemas berlaku. Ringkasnya, rakyat harus percaya dengan tindakan kerajaan dalam usaha mengawal merebaknya penyakit berbahaya di negara ini.

Kesimpulannya, penyakit berjangkit yang sedang melanda dunia ini amat berbahaya kepada masyarakat global. Semua yang sudah berlaku membuktikan bahawa tidak ada sesiapa yang terkecuali daripada kemungkinan mendapat penyakit ini. Tindakan yang berani dan tegas sahaja berupaya menghalang wabak ini daripada terus berlaku. Bak kata orang tua-tua ?hendak seribu daya tak hendak seribu dalih? memberitahu kita betapa pentingnya sikap berusaha mengatasi penularan penyakit ini dilaksanakan dahulu.



KARANGAN CONTOH GRED A

Tajuk / Tema Karangan: Industri Kecil dan Sederhana

Fokus karangan: Langkah-langkah merancakkannya

[Ayat Rangsangan]Dewasa ini, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memainkan peranan yang penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. [Ayat Huraian 1]IKS ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. [Ayat Huraian 2]Di Malaysia, terdapat pelbagai peluang usaha niaga berbentuk IKS yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan. [Ayat Huraian 3]IKS menyediakan sebanyak 44.2% peluang pekerjaan daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan, 48.9% dan 31.7% masing-masing dalam jumlah nilai keluaran dan jumlah nilai harta tetap. [Ayat Arahan]Demi merancakkan IKS, kerajaan telah mengatur beberapa banyak langkah yang konstruktif dan pragmatik.

[Ayat Judul]Salah satu langkah perdana yang diambil oleh kerajaan ialah penawaran pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif kepada para pengusaha IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 1]Bantuan ini dapat mendorong para pengusaha yang mengusahakan perniagaan IKS berasaskan pertanian, perikanan, perternakan, pemprosesan makanan, dan sebagainya.[Pengembangan:Ayat Contoh 1]Antara geran dan insentif yang disediakan kepada pengusaha IKS termasuklah skim kewangan, skim geran penyelidikan dan pembangunan, dan sebagainya.[Pengembangan:Ayat Contoh 2]Kemudahan pinjaman yang disediakan pula melalui institusi kewangan kerajaan, seperti Bank Pertanian dan Bank Simpanan Nasional, bank komersial seperti Bank Rakyat dan Bank CIMB, serta syarikat kewangan. [Pengembangan:Ayat Huraian 2 ]Melalui Skim Khas Bank Negara, Bank Negara telah menubuhkan Unit Khas Enterpris Kecil dan Sederhana yang bertujuan membantu perusahaan IKS yang berdaya maju untuk memperoleh pembiayaan. [Ayat Penyimpul]Dengan adanya bantuan dan sokongan kerajaan, IKS nescaya dapat berkembang maju.

[Ayat Judul]Dalam pada itu, khidmat nasihat dan perundingan kepakaran turut disediakan oleh pihak kerajaan. [Pengembangan:Ayat Huraian 1]Usahawan dan pelabur yang ingin akan maklumat atau pendedahan lanjut mengenai IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat yang disediakan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan yang lain. [Pengembangan:Ayat Huraian 2]Para pengusaha memang memerlukan khidmat nasihat dan sokongan teknikal dalam usaha melicinkan operasi IKS agar lebih produktif, dinamik, berdaya maju, dan kos efektif, di samping meningkatkan daya pengeluaran dan kualiti produk, serta pemasaran global.[Pengembangan:Ayat Contoh]Antara agensi yang terlibat dalam khidmat nasihat dan bantuan teknikal termasuklah MARA (skim khidmat pakar perunding MARA), UKM Pakar Runding Sdn. Bhd., dan Persatuan IKS Malaysia. [Pengembangan:Ayat Huraian 3]Tanpa khidmat nasihat dan perundingan kepakaran, pengusaha-pengusaha yang mentah dalam selok-belok pengurusan IKS ataupun baru menceburi bidang ini akan menghadapi pelbagai rintangan. [Ayat Penyimpul]Pendek kata, pihak kerajaan berprakarsa dan beriltizam membantu para usahawan untuk membangunkan IKS dan melipatgandakan perolehan.

[Ayat Judul]Tidak ketinggalan juga, kerajaan menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kepada usahawan dan pelabur yang cenderung mengusahakan aktiviti IKS.[Pengembangan:Ayat Huraian 1] Dalam konteks ini, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) merupakan agensi kerajaan utama yang bertanggungjawab menyelaraskan pembangunan IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 2]Selain menawarkan khidmat nasihat berkaitan dengan pembangunan industri, agensi ini menyediakan program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS. [Pengembangan:Ayat Contoh]Antaranya termasuklah program rantaian industri, program pembekal global, program peningkatan kemahiran, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Huraian 3]Bahkan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan, membimbing dan melatih penduduk Bumiputera, khususnya di luar bandar, supaya menyertai kegiatan perdagangan dan perusahaan. [Pengembangan:Ayat Contoh 2]Antara program yang ditawarkan ialah latihan keusahawanan, skim latihan perintisan, dan program promosi pemasaran.[Ayat Penyimpul]Melalui agensi-agensi kerajaan, IKS berdaya maju dan menyumbang kepada iktisad negara.

[Ayat Kesimpulan]Secara tuntasnya, kerajaan memainkan peranan yang mustahak dalam memajukan dan merancakkan IKS. [Ayat Peniaian]Hal ini demikian kerana pertumbuhan pesat sektor perkilangan memperlihatkan kepentingan dan peranan IKS yang kian ketara. [Ayat Penilaian]Penglibatan IKS dalam pelbagai jenis aktiviti perkilangan menjadi penggerak dan tulang belakang kepada pertumbuhan sektor perkilangan amnya. [Ayat Penilaian]Kesedaran pelbagai pihak tentang keperluan dalam melahirkan usahawan yang berkemampuan dan bertaraf antarabangsa serta pekerja mahir adalah tinggi. [Ayat Cadangan]Selaras dengan ini, pelbagai pihak telah mula menyedari bahawa salah satu langkah penting dalam mencapai hasrat ini adalah melalui bantuan dan sokongan kepada pembangunan IKS. Jadi, pihak-pihak yang terbabit dalam sektor ini haruslah meneroka dan merintis bidang-bidang IKS baru dengan menghadiri ekspo-ekspo perindustrian di luar negara. [Ayat Harapan]Dengan wujudnya inisiatif dan iltizam, IKS bukan sahaja berdaya maju bahkan menyumbang kepada ekonomi negara sekali gus merealisasikan Wawasan 2020.



No comments:

Post a Comment

Designed By Seo Blogger Templates Published.. Blogger Templates